|
Haji
Othman bin Yaacub atau lebih terkenal dengan gelaran Pak Uda bukanlah
individu asing bagi masyarakat yang tinggal di Kampung Parit Tengah, Parit
Jawa dalam Daerah Muar, Johor. Beliau merupakan Ketua Pakatan Kampung
Parit Tengah Laut. Dilahirkan pada tahun 1924 kira-kira lapan puluh lima
tahun yang lampau di sebuah kampung di Parit Bulat kira-kira lima kilometer
dari tempat tinggalnya sekarang.
Sejak usia dua belas tahun Pak Uda sudah menjadi
anak yatim kerana kehilangan ibu yang tercinta. Dengan adik beradik seramai
tujuh orang yang kini tinggal tiga orang sahaja, Pak Uda menjalani kehidupan
dalam keadaan serba kekurangan. Pak Uda juga mempunyai adik beradik berlainan
ibu seramai tujuh orang.
Ketika usia 17 tahun, Pak Uda telah berkahwin dengan
Hajah Saadiah binti Kassim yang lebih dikenali dengan gelaran Busu. Perkahwinan
di jalankan dengan serba kekurangan kerana pada ketika itu Jepun telah
menguasai tanah Melayu. Ramai daripada anak-anak muda Melayu yang berkahwin
awal untuk mengelak daripada di hantar ke Burma untuk menjadi buruh paksa
menyiapkan jambatan keretapi maut. Kenduri kahwin hanya makan bubur sahaja,
tetapi perkahwinan Pak Uda dan Hajah Saadiah berkekalan hingga ke akhir
hayat. Selepas berkahwin, Pak Uda bekerja membuat gula kelapa. Sekati
gula kelapa yang dihasilkan dijual pada harga 25 sen. Pada ketika itu,
duit satu sen sangat berharga kerana dengan satu sen dapat beli empat
jenis barang dapur iaitu lada kering, bawang merah, bawang putih dan bawang
besar. Beras segantang boleh dibeli dengan harga 6 sen dan gula 5 sen
sahaja.
Bagi
meneruskan kehidupannya lagi, Pak Uda membawa isterinya untuk menetap
di ladang estet Bang Heng di Pagoh sehinggalah zaman komunis menguasai
tanah Melayu. Pada masa itu, Pak Uda mengambil upah menoreh getah dengan
pendapatan RM2 hingga RM4 sehari. Pak Uda terpaksa pulang semula ke kampung
di Parit Tengah atas desakan bapa mertuanya kerana tidak sanggup berjauhan
dengan anak cucunya.
Hidup di zaman sebelum merdeka dan selepas merdeka
menyimpan banyak kenangan buat Pak Uda. Beliau telah dikurniakan 7 orang
anak. Seorang anak lelaki telah meninggal ketika usia 6 bulan. Anak-anak
yang ada terdiri daripada 4 orang lelaki dan 2 perempuan. Anak-anak lelakinya
terdiri daripada Hj. Ahmad, Hj. Alias, Ibrahim dan Md Noh manakala anak
perempuannya iaitu Hjh. Norisa dan Noraini. Selain itu Pak Uda turut memelihara
seorang kakak ipar bernama Biah serta 2 orang anak saudara yang telah
menjadi yatim sejak kecil iaitu Fatimah (Anis) dan Hjh. Rokiah (Kiah).
Kesemua anak-anak Pak Uda berjaya dalam kehidupan.
Mengimbau semula kisah kehidupan Pak Uda di zaman
silam banyak pekerjaan yang telah dilakukannya untuk menyara keluarga
yang seramai 14 orang. Pak Uda menjadi ketua keluarga apabila bapa mertuanya
Kassim bin Kersah meninggal dunia. Bangun seawal pukul 3 pagi kemudian
pergia menoreh getah. Pulang ke rumah untuk sembahyang subuh. Rutin harian
diteruskan lagi dengan menyabit kelapa di kebun-kebun milik beberapa orang
pemilik kebun berketurunan Cina di parit Jamil, Parit Tengah, Parit Jawa
dan Simpang Pulai. Pak Uda menyabit kelapa hingga pukul 2 petang boleh
dikatakan setiap hari. Upah menyabit kelapa pada ketika itu ialah 1000
biji / RM15. Pak Uda boleh mengait kelapa sehingga 2000 biji sehari. Ada
yang menggelar Pak Uda, Seman Sabit. Pak Uda menyabit kelapa sehingga
tahun 1989. Salam 42 tahun bermula tahun 1947, Pak Uda mengambil upah
mengait kelapa. Selama itu juga Pak Uda turut mengambil upah memasak kenduri
kahwin bersama Hj. Senan.
Pada tahun 2004, Hajah Saadiah pergi meninggalkan
Pak Uda buat selama-lamanya kerana diserang sakit strok. Satu tamparan
hebat buat Pak Uda kerana beliau terlampau menyayangi isterinya yang telah
berkongsi keperitan hidup dan kesenangan. Kini Pak Uda tinggal di kampung
bersama cucu yang dibela sejak dari kecil iaitu Norazlin Mokhtar iaitu
anak sulung kepada Norisa, iaitu anak pertama Pak Uda.
Kehidupan Pak Uda mulai senang apabila seorang pemilik
kebun bernama Hj. Mansor memajakkan kebun kelapa di Parit Jamil kira-kira
18 ekar kesemuanya. Pendapatan Pak Uda sebulan RM4000 sekitar tahun 1980-an.
Dapatlah Pak Uda menyimpan duit dan dengan hasil simpanannya ini, Pak
Uda bersama isteri dapat mengerjakan haji di Baitullah buat kali pertama
pada tahun 1986. Rezeki Allah terus melimpahi Pak Uda apabila membantu
anak keduanya Hj. Ahmad meniaga balak. Lagi sekali Pak Uda mengerjakan
haji bersama isterinya. Pada ketika perbelanjaan mengerjakan haji untuk
2 orang RM14,000. Pak Uda bersama anaknya Hj. Ahmad suami isteri dan kakak
iparnya Biah, pergi bersama-sama mengerjakan haji. Ketika itu Pak Uda
menginap di Aziz Khogeer Hotel, Mekah. Ini kenangan yang tidak dilupakan
kerana walaupun kali kedua pergi Mekah, tetapi ini kali pertama mengerjakan
haji bersama anaknya Hj. Ahmad yang banyak membantu mengubah kehidupannya.
Walaupun Pak Uda dilimpahi rezeki melimpah namun
Pak Uda tidak pernah lupa kesusahannya yang lampau. Pak Uda sentiasa menyumbang
tenaga untuk membantu masyarakat kampung dengan mewujudkan pakatan yang
lengkap. Hasil sumbangan anaknya Hj. Ahmad, pakatan Kg Parit Tengah Laut
mempunyai peralatan kenduri kahwin yang cukup. Sehinggalah hari ini, peralatan
pinggan mangkuk dan periuk masih digunakan untuk majlis kenduri kendara
di kalangan masyarakat kampung. Sebagai Ketua Tukang Masak, Pak Uda tidak
pernah mengenakan sebarang bayaran, hanya tolong sahaja. Bagaimanapun,
masyarakat tetap memberi sedikit sagu hati atas sumbangan Pak Uda.
Rezeki Pak Uda tidak putus-putus. Anak-anak yang
berjaya tidak pernah melupakan Pak Uda. Sudah menjadi lumrah setiap mendapat
rezeki yang banyak, Pak Uda akan ke Mekah menunaikan ibadah. Empat kali
Pak Uda dapat berkunjung ke rumah Allah. Kalau diikutkan kesusahan yang
dialami masa muda adalah mustahil baginya untuk ke Mekah, tetapi Allah
berkuasa ke atas setiap makhluknya.
Sehingga kini, Pak Uda dikurniakan kesihatan yang
baik. Pernah Pak Uda diserang strok. Tetapi apabila Pak Uda berhenti daripada
menghisap rokok, penyakitnya semakin pulih.
Kini, Pak Uda memiliki 24 cucu dan 16 cicit. Pak
Uda menekankan pendidikan agama dalam mengasuh anak-anak. Sikap Pak Uda
yang sederhana amat disenangi oleh anak-anak dan cucu. Pak Uda adalah
seorang yang sangat pemurah. Banyak jasa telah ditabur kepada masyarakat
kampung. Anak-anak Pak Uda sentiasa meluangkan masa kepada Pak Uda sejak
peninggalan isterinya.
Menyentuh tentang kerjayanya sebagai tukang masak
Nasi Beriani, Pak Uda telah memulakan dengan menjadi pembantu tukan masak
kepada Haji Senan. Haji Senan merupakan tukang masak nasi beriani yang
terkenal sekitar tahun 1940-an. Atas minat yang mendalam terhadap dunia
masakan, Pak Uda berusaha untuk mempelajari masakan Nasi Beriani bersama
rakan-rakannya. Dua orang rakannya sudah pun kembali ke rahmatullah.
Segala pengalaman memasaknya selama 65 tahun telah
diturunkan kepada cucunya Atan atau Norazlin Mokhtar. Seorang anak Pak
Uda yang menunjukkan minat dalam masakan Nasi Beriani ialah Hj. Alias
atau dikenali dengan Uda yang kini menetap di Meru Klang, tetapi anaknya
ini tidak menjadikan masakan Nasi Beriani sebagai punca pendapatan utama.
Berbeza dengan cucunya Norazlin Mokhtar. Norazlin yang berusaha untuk
mempopularkan masakan Beriani Pak Uda menerusi laman web PakUdaBerianiGam.com.
Dalam usia emas ini, Pak Uda masih mampu mengendalikan
masakan majlis kenduri kahwin dengan bantuan cucunya. Bukan sesuatu yang
mudah mengendalikan masakan kenduri kahwin dan majlis keraian tetapi bak
kata pepatah Melayu "Alah bisa tegal biasa; Jangan berumah ditepi
pantai kalau takut badai melanda". Demi meneruskan kehidupan, inilah
sebahagian daripada mata pencarian Pak Uda sejak dari muda.
Sekitar tahun 1940-an masakan Nasi Beriani mulai
popular di negeri Johor terutama di sekitar daerah Muar dan Batu Pahat.
Buat kali pertama Pak Uda diberi kepercayaan oleh gurunya Haji Senan untuk
mengendalikan satu majlis kenduri kahwin di rumah seorang guru. Pak Uda
berjaya membuktikan dia mampu mengendalikan majlis tersebut. Pak Uda menerima
upah sebanyak RM50 pada ketika itu. Beliau sangat gembira menerima upah
tersebut. Nilainya sangat tinggi bukan sahaja dapat membeli pelbagai keperluan
anak-anak pada masa itu, tetapi dengan upah itulah Pak Uda semakin yakin
dan berani untuk memasak Nasi Beriani di majlis kenduri. Dunia masakan
Nasi Beriani sudah semakin sebati dengan Pak Uda. Pak Uda menjadi ketua
pakatan Kg Parit Tengah Laut. Sebarang masakan majlis kenduri diketuai
oleh Pak Uda. Anak-anak, cucu dan isteri menjadi tulang belakang dalam
usaha Pak Uda menyumbang tenaga dalam sebarang majlis kenduri yang dikendalikannya.
Isteri tercinta Allahyarhamah Saadiah binti Kassim pun tidak menang tangan
membantu Pak Uda mengendalikan majlis kenduri. Mulut Hajah Saadiah yang
riuh terus menjadi ingatan sebahagian masyarakat Kg Parit Tengah hingga
hari ini.
Masakan Nasi Beriani Pak Uda mendapat tempahan di
sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Melaka dan negeri Johor sendiri.
Pak Uda terus mengorak langkah. Hasil usaha gigih cucunya Norazlin serta
berkat doa keluarga dan masyarakat kampung maka pada tahun 2008, Syarikat
Pak Uda Beriani Gam (PUBG) ditubuhkan. Jenama Pak Uda mula dikomersialkan.
PUBG satu-satunya syarikat yang bertanggungjawab mempopularkan masakan
Beriani. Laman web PakUdaBerianiGam.com menjadi platform mengetengahkan
masakan Beriani agar sama popular dengan pengusaha-pengusaha Nasi Beriani
yang lain. Bukan sahaja menceburkan diri dalam perniagaan katering, tetapi
turut mengendalikan Bengkel masakan Nasi Beriani untuk majlis keraian
dan kenduri kahwin.
Menyentuh tentang keenakan masakan Pak Uda, ramai
tokoh-tokoh negara yang pernah menikmati masakan Pak Uda termasuklah Menteri
Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman serta beberapa orang exco Negeri
Johor serta Datuk Ahmad Shah, tokoh politik daerah Muar.
Kini dalam usia mencecah 85 tahun,
Pak Uda mampu tersenyum lebar atas kejayaannya sebagai tukang masak. Apa
yang paling penting ialah keaslian masakan Nasi Beriani dan keenakan rempah
yang digunakan. Sehingga kini, pihak PUBG menggunakan kayu api dalam proses
memasak nasi dan juga lauk. Kebersihan menjadi asas utama penyediaan makanan.
Penggunaan rempah yang berkualiti tinggi menjadi pilihan. Atas kesedaran
itulah, selain menceburkan diri dalam perniagaan katering dan bengkel,
PUBG turut membuat pembungkusan Rempah Beriani atas jenama PUBG. Kini
sesiapa sahaja boleh mendapatkan rempah Beriani asli dengan menempah terus
daripada pihak PUBG atau mengakses ke laman web PakUdaBerianiGam.com untuk
menghubungi pihak pengurusan.
Klik
sini untuk melihat carta Famili Tree Pak Uda.
Wassalam.
MASAKAN KERAIAN WARISAN NEGERI JOHOR
NIKMATI KEASLIAN WARISANNYA
|